Ini Kisah Aku Dan Emas

Tajuk : Terbeli Emas Ketika Belajar, Rezeki Aku Kahwin Awal Tanpa Hutang 

 

Kahwin-Tanpa-Hutang

 

Inilah kisah aku dan emas. Yang memulakan pembelian emas pertama secara buta-buta tanpa ilmu tahun 2011, hampir 8 tahun yang lalu. Pernah juga aku rasa marah dan menyesal beli emas.

Namun, sehingga saat aku menulis ini, aku rasa beruntungnya dulu aku ‘terbeli’ emas, walau pernah membencinya.

Kisah aku bermula pada tahun 2010, ketika aku masih belajar di Kolej Matrikulasi Pahang. Pada ketika itu, cuti tamat semester, sambil bersembang- sembang dengan mama abah di rumah.

Entah macam mana, abang aku, aku panggil beliau Abg Zul, terkeluar cerita pasal emas, lalu beliau bertanya satu soalan ringkas kepadaku ” Hafiz, pernah pegang emas?

Pantas aku menjawab

” Emm, emas? Kenapa? Macam tak pernah”. Aku berkata sambil memikirkan bila kali terakhir aku memegang barang perhiasan wanita (emas) tu.

Disebabkan sejak lahir, aku tak pernah nampak pun mama memakai barang kemas. Selepas beberapa ketika, tanpa bercakap panjang, Abg Zul terus meraba sesuatu dalam poket bajunya dan terus berkata “Nah! Ini emas. Kalau tak pernah pegang. Nak pegang, ambil lah”.

“Woww, emas ke ni? Ada jugak eh emas bulat macam ni”. Balas aku dengan sangat teruja.

Pada saat itulah, kali pertama aku pegang emas. Wahh sangat teruja. Ya, memang benar ia kali pertama. Kebanyakan orang lain, mama mereka memang pakai barang emas, tapi tidak bagi kami.

“Ini 1 Dinar 916, ia bermaksud ketulinannya 91.6%. Satu Dinar (4.25gram) macam ni juga, pada 1400 tahun dahulu ketika zaman Nabi SAW boleh beli sekor kambing, dan sekarang ni pun harga 1 Dinar ini sekitar RM350, masih valid untuk dapatkan seekor kambing ” Tambah, Abg Zul dengan panjang lebar.

Aku hanya berkata ” Oooo, macam tu ke “. Bermula dari saat itu, disebabkan oleh aura pegang emas dan penerangan dari Abg Zul tentang kehebatan emas, aku meletakkan azam bahawa jika aku ada duit ‘gaji’ sendiri suatu hari nanti, aku mesti memilik emas.

Setahun telah berlalu,

Pada tahun 2011, iaitu tahun pertama aku menjejak kaki ke menara gading. Alhamdulillah, rezeki dari-Mu ya Allah, aku mendapat tajaan biasiswa penuh sepanjang 4 tahun di universiti bermula semester yang ke-2.

Disaat mendapat biasiswa yang pertama, aku terus hubungi Abg Zul, untuk bertanyakan cara nak beli 1 Dinar seperti aku pernah pegang setahun yang lalu. Dengan duit itulah (sekitar RM10k), aku terus beli 4 Dinar yang pertama.

Aku rasa sangat seronok memiliki emas.

Di saat kawan-kawan aku yang lain tengah berfikir nak melancong dekat mana apa dengan RM10k tadi, aku dah mula melabur dalam emas sebanyak RM2000 (1 Dinar ketika itu ialah RM450).

Dan apa yang aku harapkan, emas yang aku beli ini akan dapat dijual dengan harga yang lebih mahal selepas aku tamat belajar nanti, kerana apa yang aku faham pada ketika tu, harga emas akan sentiasa naik.

emas-1 Dinar
Macam ini lah emas yang pertama saya beli dulu. 1 Dinar 916. Hanya tinggal 1 ni je, yang lain dah ditukar kepada emas 999 LBMA selepas wujudnya GST.

Selepas membeli 4 Dinar kali pertama tu, aku sentiasa monitor pergerakan harga emas. Hampir setiap hari. Dan semestinya berdoa supaya harga emas sentiasa naik.

Semester berganti semester, dapat je duit biasiswa, aku terus beli minimum 1 Dinar sebagai simpanan. Dan aku rasa sangat seronok, harga emas sentiasa naik pada masa itu. Dalam fikiranku, barang yg aku beli dulu, dah jadi mahal sekarang ni!

Walaubagaimanapun, pada tahun 2013…

Keseronokan aku menyimpan emas terus menghilang. Yang dikatakan harga emas sentiasa naik tu sebenarnya salah! Pada 2013 harga emas jatuh mendadak.

Fuhh, saat ini lah rasa menyesal beli emas.

Apa yg aku rasa, emas yg aku beli sebelum ini langsung tidak ada nilai. Nak jual semua emas-emas itu pada masa itu tidak untung, jadi nak tak nak terpaksa aku simpan je.

Awal 2014, semester terakhir aku di universiti, duit gaji semester kali ini tidak lagi aku tukarkan sebahagiannya kepada emas, disebabkan kekecewaan aku dengan harga emas yang tengah menjunam.

Memang aku beli sebelum ini disebabkan spekulasi harga emas yg sentiasa naik.

Inilah kesannya mula melabur tanpa ilmu! Aku umpama berjudi dengan ‘harga emas’!

Namun, pertengahan 2014, aku hampir menamatkan pengajian aku dalam ijazah kejuruteraan mekanikal. Pada saat ini fikiran aku lebih fokus dengan masa depan aku, tentang kerjaya dan tentang keluarga.

Ketika ini juga aku meletakkan hasrat untuk menamatkan zaman bujangku, ingin membina masjid sebaik sahaja tamat belajar di UTM.

Aku bagitahu kakak aku, kerana mungkin ia lebih memahami. Dan akhirnya satu keluarga aku dah tahu aku tentang hasrat aku ingin berkahwin. Mati laa. HAHA

Satu soalan ringkas dan padat aku terima dari mama aku sebelum dia memberi kebenaran ialah “ Hafiz nak kahwin ni, ada duit ke?”. Fuhhh, terus terkedu fikiranku.

Semuanya memerlukan duit! Bukan setakat nak kahwin mesti ada duit, nak cari duit (mula kerja) pun mesti ada duit!

Pada ketika inilah, aku mula sedar, simpanan aku di Tabung Haji kosong, simpanan dalam ASB memang tak pernah ada, tapi aku ada 13 keping dinar emas, yg bernilai sekitar RM8000 ketika itu, sebagai bekal untuk aku melangkah keluar dari alam universiti.

Alhamdulillah, aku bersyukur padaMu ya Allah.

4 tahun lalu aku terbeli Dinar emas yang pertama. Disebabkan emas-emas yg aku ada ini lah ia memudahkan aku mendirikan rumah tangga di awal usia.

Disaat kawan-kawan aku yg lain, baru memulakan ‘projek tabung kahwin’ hasil dari duit gaji pertama, dan ada yang terpaksa menjeratkan diri dengan hutang perbadi demi menjadi raja sehari, gaji pertama aku sudah gunakannya untuk mengisi ‘tabung rumah pertama’. (Disaat aku menulis ini, dengan rezeki dari Allah, aku sudah selesai segala urusan bayaran modal deposit untuk rumah pertama)

Inilah kisah aku dan emas.

Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan pengajaran berguna kepada sahabat pembaca semua.

 

Ada Emas Menjadikan Rasa Tidak Berduit

Pengajaran yang pertama dari pengalaman aku sendiri dengan emas ialah beli emas membuatkan aku rasa tidak berduit ketika di university. Sebaik sahaja aku mendapat biasiswa, aku terus tukar RM(duit) kepada gram (emas) dulu.

Bila rasa tidak berduit, nafsu untuk mem’boros’ tu berkurang. Memanglah aku ni jenis tak pandang sangat dengan gajet-gajet ni. Tetapi, kalau nak diikutkan aku mungkin lebih banyak ‘terboros’ dari kawan-kawan yang lain kerana aku sangat meminati dengan sukan-sukan lasak seperti berbasikal dan mendaki gunung.

Dan kelengkapan untuk sukan lasak yang aku ceburi ni kos-kos nya agak ‘lasak’ juga lah. Hehe

 

Lebih Teliti Bab Urus Kewangan

Pengajaran kedua pula ialah disebabkan aku mula menyimpan emas sejak dari awal pengajian. Sejak dari awal pengajian lagi aku mula membaca blog-blog tentang emas.

Dan apabila membaca blog tentang emas, sudah tentu ia berkait rapat dengan kewangan. Sejak dari itu aku mula mendapat kesedaran awal tentang urus kewangan seperti melabur dalam hartanah dan berbisnes.

Jadi, semasa diuniversiti, aku paksakan diri untuk berkecimpung dalam beberapa bisnes kecil seperti menjual tudung, jersi, dan juga buat servis printing atau fotokopi. Pengalaman aku berbisnes di university inilah membuatkan aku lebih teliti bab kewangan.

 

Kesedaran Awal Untuk Mengumpul Asset

Akhir sekali, inilah pengajaran paling penting dalam kisah aku dan emas, iaitu simpan dan kumpul emas sejak awal pengajian menyebabkan aku mempunyai kesedaran awal untuk pengumpul asset.

Secara tidak sedar, asset yang aku kumpul ini cukup untuk menampung kos-kos perkahwinan aku sebaik sahaja tamat belajar tanpa perlu membuat personal loan.

Berapa ramai kawan-kawan aku yang sudah mempunyai seseorang untuk dijadikan pasangan hidup semasa di university, tetapi terpaksa menangguhkan perkahwinan dek kerana tidak ada simpanan yang cukup (bahkan tidak ada langsung) untuk menanggung kos-kos perkahwinan. Jika ada yang sabar, tunggu dua tahun bekerja untuk kumpul modal hasil dari duit gaji dan baru melangsungkan perkahwinan.

Namun, jika tidak sabar, cara segera yang ramai lakukan sekarang ini ialah dengan membuat personal loan! Berbeza dengan rezeki aku. Duit simpanan semasa belajar sama-sama kosong berbanding dengan orang lain, tapi aku ada emas yang merupakan duit yang sebenar dan tidak perlu bersusah payah lagi membuat personal loan untuk mendirikan rumah tangga di awal usia. Alhamdulillah. Waallhuaalam

 

Hafiz Shafie
5 Februari 2018
Tawau, Sabah

 

Saya dealer Public Gold yang aktif. Saya memberi nasihat tentang simpanan dan pelaburan emas yang betul tepat dan selamat.

2 Comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *