Tak kira apa level kita. B40, M40 atau T20, apabila dapat surat tawaran Haji (P1), untuk terima surat tawaran tersebut, kita mesti lulus ujian kesihatan, dan sediakan duit secukupnya dengan segera.
Itulah realiti sebenar, bagi semua jemaah haji. Jadi, yang muslim, perlu ingat tentang dua perkara ini.
ASB, Emas dan Tanah?
Saya nak cerita pengalaman saya tahun lepas. Syukur, dari sudut kesihatan, saya dan isteri tiada masalah. BMI terkawal, sakit-sakit lain tidak ada.
Cuma, satu perkara lagi yang saya kena selesaikan segera ada sediakan cash sekitar RM70k segera untuk bayaran haji, untuk pergi dengan pakej muasasah.
Walaupun saya dalam rancangan untuk pergi Haji dengan PJH, tapi saya tetap perlukan cash tersebut, untuk masukkan dalam akaun tabung haji.
Waktu ni fikiran saya dan isteri agak berkecamuk. Nak korek ASB, rugi pulak kurang dividen? Dan masih tak cukup dengan cash yang ada. Nak jual emas rasa sayang pulak dah simpan lama.
Tanah masih disitu
Namun, isteri saya ada tanah. Atas namanya sendiri yang dia beli tahun 2019 sekitar harga RM90k. Fikir punya fikir, daripada tanah tersebut naik semak, lebih baik jual saja. Kalau saya beli emas ketika itu, dapat 500gram, dan hari ni sekitar RM300k!
Jadi, saya mula hebahkan untuk jual tanah tersebut, dengan RM120k sahaja. Agak aggresif, hampir setiap hari lah buat posting nak jual tanah.
Ada yang bertanya, tapi banyak yang turn off apabila dapat tahu :
(1) Tanah tidak ada jalan ROW. Walaupun ada jalan, orang tak nak.
(2) Tanah penuh semak samun, walaupun tanah tersebut ada pokok durian dan dokong
(3) Tanah tersebut status pertanian.
Jadi, sampai lah hari ni. Saya masih cuba untuk jual tanah tersebut, masih belum berjaya.
Emas sebagai modal Haji
Kami dah takda jalan lain, jalan yang ada saya terus jual dan gadai emas. Emas yang lama-lama, saya jual sahaja. Emas yang baru dan rasa saya, saya gadai emas dan dapatkan cash.
Saya dapat kumpulkan cash hasil jual dan gadai emas ketika itu hampir RM200k. Saya kira-kira, kos untuk kami tunaikan haji ni sekitar RM150k. Selepas ambil kira bayaran haji kepada pihak Tabung Haji, dan juga bayaran kepada pihak PJH.
Alhamdulillah, selepas beberapa bulan balik dari tunaikan Haji, semua emas tersebut saya selesai tebus balik.
Pengajaran untuk bakal haji (BH), yang mungkin akan tunaikan haji dalam masa 5 tahun akan datang. Kalau kekayaan kita dalam bentuk tanah, usahakan segera untuk jual tanah tersebut, dan alihkan dalam bentuk emas dulu sementara dapat panggilan haji.
Kalau sudah dapat surat, ia dah terlambat.
Tanah ambil masa yang lama untuk dicairkan. Emas cuma ambil masa 2-3 hari bekerja sahaja.

